Wednesday, 4 January 2012

GUNUNG LEDANG


Gunung Ledang, Tangkak, Johor (4187')
Gunung ini merupakan sebuah gunung lagenda. Kisah lagenda Puteri Gunung Ledang menjadi sebutan masyarakat hingga kini. Gunung ini dikawal selia oleh Taman Negara Johor Gunung Ledang/Taman Hutan Lagenda. Penjajah British pula mengelar gunung ini Mt. Ophir kerana keindahannya yang tersendiri.
Trail
Trail ke puncak gunung ini ada dari Melaka dan ada dari Johor. Pendaki mempunyai beberapa pilihan trail:-
Ayer Panas Trail
Lagenda Trail
Asahan Trail
Ulu Jementah Trail
Telekom Tower Road
Ayer Panas Trail
Nama trail ini agak baru bagi pendaki tetapi trail ini yang telah lama dikenali dengan panggilan trail sagil/resort. Trail ini bermula dari kawasan G. Ledang Resort terletak di Sagil. Trail ini boleh dikatakan bersebelahan Sg. Ayer Panas yang menjadi antara daya tarikan pengunjung untuk bermandi-manda. Trail ini sebenarnya begitu banyak laluan yang akan bertemu kembali dibeberapa checkpoint. Pos Pendaftaran Taman Negara ada dipintu masuk ke kawasan rekreasi untuk pendaki melaporkan pendakian.2
Kolam Puteri
Kolam ini sebahagian dari Sg. Ayer Panas yang berjeram. Keadaannya seperti kolam dan mempunyai lagenda tempat mandi si Puteri Gunung Ledang.
Sungai Akhir
1-2 jam trekking pendaki akan tiba disebatang sungai yang tenang dan berjeram sedikit. Pendaki boleh mengambil air disini sebagai bekalan untuk pendakian seterusnya yang lebih mencanak.
Kolam Anak Gajah
Seperti Kolam Puteri, kolam ini juga berada di sungai yang sama. Terdapat satu air terjun berdekatan kolam ini. Disini ada 2 trek ke Kolam Gajah. Pendaki boleh memilih samaada hendak merentas sungai dan trekking tepi air terjun atau terus tanpa lalu tepi sungai. Trek tepi air terjun ini antara laluan menarik G. Ledang.
Kolam Gajah
Satu lagi checkpoint pendaki. Kawasan ini mempunyai kolam besar dan dalam sesuai dengan namanya. Kawasan perkhemahan disini cukup besar hingga ada zon yang dinamakan Pasir Panjang dan Pulau. Lebih 300 pendaki boleh berkhemah disini.
Batu Sampan & Kem Batu Kapal
Checkpoint ini hanya akan dilalui pendaki sekiranya memilih alternatif trail ke Sg. Segitiga dari Kolam Gajah. Melalui Pasir Panjang pendaki akan jumpa seketul batu besar umpama sampan yang dikenali 'Batu Sampan'. Seterusnya pendaki akan melintas Kem Lembah Panglima kemudian akan lalu di Kem Batu Kapal. Kalau tadi batu sampan kali ini batu kapal lebih besar umpama kapal dipandang dari bahagian depan.

Sg. Segitiga
Kem Sg. Segitiga ini merupakan pertemuan 3 batang anak sungai. Kawasan ini dikatakan agak 'keras' tetapi tidaklah ditutup kem ini untuk pendaki bermalam.
Gua Kambing
1 Jam trekking dari Sg. Segitiga. Trek agak mencanak tapi agak menarik kerana pendaki melalui akar-akar kayu yang merentangi bongkah batu. Menurut lagenda, ada kambing tersesat dan masuk ke gua ini tetapi kambing tersebut tidak dijumpai didalam gua ini kerana gua ini ada satu lagi pintu keluar dihujungnya.

Batu Hampar
Kawasan dinding batu granit yang besar setinggi kira-kira 40meter ini perlu didaki menggunakan tali. Tali telah siap sedia ada disini. Dari atas Batu Hampar pendaki boleh melihat sebahagian daerah Tangkak.
Taman Bonsai
Pada ketinggian lebih 3000' dpl pendaki akan melintasi zon pokok-pokok bonsai seperti disebuah taman bonsai.

Bukit Botak
Bukit ini agak gondol dan lapang sesuai dengan jolokan yang diberi. Pemandangan dari sini dapat dilihat puncak G. Ledang. Ada sumber air berdekatan dari alur sungai. Pokok-pokok resam juga penuh disekitarnya.
Lembah Majapahit
Lembah ini ada sumber air dari anak sungai. Pendaki boleh dapat bekalan air terakhir disini. Ada laluan alternatif ke puncak gunung tanpa melalui lembah ini.


Puncak G. Ledang
Puncak ini ditandakan dengan tugu batu. Puncak ini terdedah dengan mentari dan tiupan angin. Panorama dari puncak ini memaparkan Selat Melaka, daerah Tangkak, Puncak Telekom dan Puncak G. Rundok.
 

Lagenda Trail
Trail ini bermula dari Taman Hutan Lagenda, Sagil. Pejabat Utama Taman Hutan Lagenda didirikan disini bagi mengelola serta mengawal jumlah pendaki. Trail dari sini ke Sg. segitiga dinamakan lagenda trail. Perjalanan dari Taman Hutan ke Kolam Gajah kira-kira 3-4 jam terkking. Bermula dengan laluan bertangga batu dinamakan Tangga Mahligai.
Bukit Semput
Pendaki akan mendaki Bkt Semput, walaupun tidak berapa mencanak, tetapi tetap memberi cabaran pada pendaki lebih-lebih lagi pendaki baru.
Batu Orkid
Checkpoint ini dinamakan sempena sebongkah batu umpama bunga orkid. Inilah checkpoint terakhir sebelum trail ini bertembung dengan Trail Ayer Panas. Pendaki boleh juga memilih alternatif melalui Laluan Kijang ke Kolam Gajah.

 

Asahan Trail
Ini satu-satunya trail dari Melaka bermula dari Lubuk Kedondong, Asahan. Pos Taman Hutan Lagenda ada didirikan disini bagi pendaki ke G. Ledang melaporkan pendakian. Trek Asahan Trail tidak mencanak tetapi agak panjang berbanding trek dari Sagil.
Batu Bersurat
Kesan sejarah gunung ini masih utuh disini. Terdapat satu batu bersurat dalam tulisan jawi tidak berapa jauh dari puncak G. Ledang di Asahan Trail. Disini juga menjadi tempat berteduh dan berlindung dari mentari bagi pendaki sekiranya cuaca begitu panas di puncak.


G. Rundok
Gunung ini terletak dinegeri Melaka dan satu checkpoint di Asahan Trail. Ketinggian gunung ini sekitar 3000' jauh untuk menandingi puncak G. Ledang membuatkan nama gunung ini tidak sepopular G. Ledang.

Padang Batu
Sebuah padang diatas bongkah batu besar ini kini mempunyai sebuah pondok. Sepanjang Asahan Trail inilah tempat untuk pendaki berkhemah. AWAS berkhemah dipadang ini kerana tiupan angin boleh menerbangkan khemah. Pendaki boleh memperoleh bekalan air dan berendam di sungai berdekatan.
Hentian Hanuman
Checkpoint ini tidak ditanda dengan sebarang papan tanda. Menurut Lagenda, sang Hanuman ada berhenti disini setelah berjalan di G. Ledang. Pendaki mungkin dapat bertemu dengan monyet yang masih banyak disini. Ada beberapa checkpoint yang juga tidak mempunyai tanda yang jelas buat pendaki dari Padang Batu ke sini ialah, Batu Berlumut, Lembah Beruang dan Hentian Unggas.
Lubuk Kedondong
Kawasan rekreasi dan tempat masyarakat tempatan berkelah dihari cuti. Air sungai di jeram ini agak kering kerana diempang untuk disalurkan ke palong air. Pendaki boleh juga mandi di pintu air malah didalam palong air.
Ulu Jementah Trail
Trail ini jarang sekali dilalui. Trail ini bermula dari Kg. Ulu Jemantah dan dikatakan mengambil masa 2 hari penuh perjalanan melalui sepanjang permatang ke Puncak G. Ledang. Trail ini melalui beberapa checkpoint seperti Jeram Tinggi(CP1) dan tempat berkhemah, Air Sedap(CP2), sumber air terakhir pendaki. Airnya dari mata air dan dikatakan mempunyai rasa yang sedap. Checkpoint seterusnya ialah Puncak Jementah,CP3 (2447'), Anjung Mahligai,CP4 yang mempunyai tapak khemah dan G. Mahligai hingga ke puncak G. Ledang. G.Mahligai berdekatan puncak G. Ledang dan hanya berbongkah batu.
Telekom Tower Road
Berdekatan puncak g.Ledang ada didirikan Menara Pemancar Telekom. Jalan tar dari Empangan Tangkak ke sini dibina bagi kemudahan penyelengaraan. Pendaki boleh mengambil peluang menggunakan jalan ini. Jarak puncak G. Ledang ke menara Telekom hanya 10 minit trekking. Mudah bukan. Kebiasaannya warga tua terutama datang dengan agensi akan melalui jalan ini

GUNUNG LEDANG.. terletak di kawasan Sagil dalam daerah Tangkak bersempadan dengan daerah Jasin di Melaka.Gunung setinggi 4,187 kaki (dari aras laut) silamnya dipanggil “Mount Ophir” oleh orang-orang Portugis.( sumber sejarah Melaka di Perpustakaan Lisbon, Portugal) yang menguasai negeri Melaka pada tahun 1511. 


Di kawasan gunung ini juga pernah diceritakan wujudnya emas dan pernah ditemui di suatu kawasan gunung yang dinamakan Gunung Gemih. Cerita orang dahulu, ketika Gunung Ledang masih baru didaki orang dan belum mendapat jalan mendaki seperti sekarang. Sesiapa yang sedang mendakinya akan merasakan sesuatu yang luarbiasa seolah-olah sedang berada di suatu tempat yang sangat indah.




dari puncak Gunung Ledang


ANTARA MAKLUMAT PENTING BERKAITAN SEJARAH GUNUNG LEDANG YANG BELUM DIKETAHUI UMUM IALAH:-


  1. LEDANG.. menurut 'Kamus Dewan' ialah dari segi Bahasa Jawa yang bererti : menunjuk-nunjukkan diri seseorang yang ego.
  2. Adalah dipercayai nama Gunung Ledang ini dicipta oleh Kerajaan Majapahit yang telah berkuasa di negeri ini sebelum kebangkitan kerajaan Melaka. Maksudnya Gunung Ledang itu ialah gunung yang tinggi.
  3. Maklumat daripada Sejarah China pula Laksamana Cheng Ho dikatakan pernah melawat Gunung Ledang.Beliau dikatakan melawat lombong-lombong emas di Gunung Ledang dan mengambil contoh emas-emas tersebut untuk pengetahuan rajanya.
  4. Di keliling kemuncak Gunung Ledang terdapat 7 buah kemuncak rendah. Setiap satunya mempunyai legendanya yang tersendiri.
  5. Yang paling aneh sekali ialah Legenda Gunung Gemih yang ceritanya ada sebuah gua emas yang dikawal rapi oleh penunggunya seekor lembu emas.
  6. Dalam peta lama Portugis, nama GEMIH ini ditulis sebagai “GUMMAY” yang bermaksud sebuah pusat perusahan emas.
  7. Menurut kolonel Gerini ( 1904 ), Gemih masih merupakan pusat perlombongan emas orang-orang Melayu di Gunung Ledang sehingga tahun 1817.
  8. Rounsevelle Wildman, seorang penulis terkenal dari Amerika Syarikat telah menemui seketul logam yang diambil dari kawasan lombong di tebing Sungai Gemih pada tahun 1894, apabila dileburkan didapati mengandungi emas.






PUTERI GUNUNG LEDANG :-
Puteri Gunung Ledang dikatakan amat cantik hingga diingini oleh Sultan Mahmud dari Kesultanan Melaka. Pendekar yang diutuskan meminang ialah Laksamana Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa orang lain. 

Semasa kecil, Hang Tuah berguru silat di atas Gunung Ledang dan biasa dengan jalan ke puncak Gunung Ledang. Akan tetapi kala ini, umurnya telah terlalu tua untuk ke puncak Gunung Ledang. Dengan itu, Tun Mamat ditugaskan ke puncak dan menemui seorang nenek tua atau lebih dikenali sebagai nenek kebayan yang sebenarnya,samaran kepada Puteri Gunung Ledang. 

Puteri Gunung Ledang dikatakan menolak pinangan Sultan Mahmud dengan mengenakan tujuh syarat yang tak mampu ditunaikan, ialah:
  • 1 jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 7 dulang hati nyamuk.
  • 7 dulang hati kuman.
  • 7 tempayan air mata anak dara.
  • 7 tempayan air pinang muda.
  • 1 mangkuk darah Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Mahmud Shah, dan masih kanak-kanak lagi.
Semua syarat itu sanggup ditunaikan oleh Sultan Melaka kecuali darah puteranya.

Dalam Hikayat Hang Tuah, Sultan yang meminang dengan Puteri Gunung Ledang bukannya Sultan Mahmud, tetapi Sultan Mansor Shah.


(Dalam karya agungnya Sulalatus al-Salatin (Sejarah Melayu) Tun Sri Lanang mengisahkan tentang Sultan Mahmud yang setelah kematian isteri, berhasrat meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak mahu beristerikan puteri raja biasa kerana ia bererti sama dengan raja-raja lain. Baginda ingin tampil lain dari yang lain. Katanya, “…yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja yang lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang, kita hendak menyuruh meminang Puteri Gunung Ledang;…….” ).


Selain itu dalam Hikayat Hang Tuah, sahabat yang menderhaka ialah Hang Jebat. Akan tetapi dalam Sejarah Melayu, cerita 'Shellabear' ialah Hang Kasturi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...